PROGRAM PICKLEBALL SANTAI PERTISA UMK
Program Pickleball Santai Pertisa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertemakan “Santai. Sihat. Silaturahim” telah berjaya dilaksanakan pada 29 Januari 2026 (Khamis) bertempat di Pickle Horizon, Padang Tembak. Program ini melibatkan penyertaan hampir 30 orang ahli Pertisa UMK dan dianjurkan selaras dengan inisiatif “Our Day” yang telah dilancarkan oleh Naib Canselor UMK, bertujuan menggalakkan keseimbangan antara kesejahteraan fizikal, mental dan hubungan sosial dalam kalangan warga universiti.
Penganjuran program ini memberi ruang kepada ahli Pertisa UMK untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan santai di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. Menariknya, majoriti peserta yang terlibat merupakan peserta kali pertama yang mencuba sukan pickleball, sekali gus memberikan pengalaman baharu serta meningkatkan minat terhadap aktiviti riadah alternatif.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pendaftar UMK, Encik Khairul Eruwan Abdul Halim, yang bukan sahaja hadir sebagai tetamu kehormat, malah turut bersama-sama menyertai permainan pickleball. Penglibatan beliau secara langsung telah menyuntik semangat kebersamaan, memupuk budaya kerja berpasukan serta memperlihatkan sokongan pihak pengurusan tertinggi terhadap aktiviti kesejahteraan staf.
Secara keseluruhannya, Program Pickleball Santai Pertisa UMK berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan menyediakan platform riadah yang sihat, inklusif dan berimpak positif, selari dengan aspirasi universiti dalam membudayakan gaya hidup aktif serta memperkukuh keharmonian dalam komuniti UMK.
#pertisaumk #universitimalaysiakelantan #UMK4u1hati1jiwa #umkourday